MNAWF

Jasa hero K9 dihargai, terima sumbangan makanan

Resources > Newsroom > Jasa hero K9 dihargai, terima sumbangan makanan

BATANG KALI – Penat lelah hero tak didendang, anjing Unit Pengesan (K9) yang membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm, di sini, dibalas dengan makanan.

Sebanyak 18 beg makanan haiwan itu disumbangkan kepada unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada jam 12.30 tengahari ini.

Daripada jumlah itu, enam beg makanan disumbangkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pahang, lapan beg sumbangan individu manakala dua beg lagi dari syarikat Hills Pets Corner Sdn Bhd.

Serahan itu dilaksanakan oleh Pegawai Turus Pengurusan Dasar/Sumber Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Selangor, Superintendan Zaidah Ekhwan.

Sarjan Saini Anak Lidi dari Cawangan Anjing Perang, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) menerima sumbangan itu mewakili pihak ATM.

JBPM pula diwakili Donny Chap dari Unit K9 manakala PDRM diterima oleh Asisten Superintendan Afzainizam Che Rasid.

Turut hadir, Penolong Pegawai Veterinar Negeri Pahang, Syaril Rizal. – MalaysiaGazette


Read More